Lagenda Bujang Senang


Cerita mengenai buaya raksasa menghuni sungai-sungai di Sarawak bukanlah kisah dongeng bahkan nama Bujang Senang masih digeruni hingga kini.

Kemunculan semula Bujang Senang, buaya jantan yang dipercayai oleh masyarakat tempatan berukuran 20 kaki panjang (6 meter) dan 4 kaki lebar (1.2 meter) bermula pada tahun 1982 apabila reptilia itu membaham Penghulu Bangan dari Rumah Panjang Pali di Sri Aman, Sarawak.

Pada masa itu, Penghulu Bangan bersama abangnya, Kebir sedang asyik menangguk udang di Sungai Sungga, cabang Batang Lupar sebelum dia terpijak sesuatu di dasar sungai.

Sepantas kilat, seekor buaya besar timbul dengan tubuh Penghulu Bangan dirahangnya. Kebir yang dari tadi memerhati dari tebing terus terjun dan memeluk ekor buaya itu demi menyelamatkan adiknya tetapi tidak berjaya.

Ketika itulah Kebit menyedari buaya itu mempunyai belang putih di belakangnya. Warna itu pula kelihatan berkilau-kilauan.

Operasi mencari mayat Penghulu Bangan berterusan selama 5 hari tetapi cuma bahagian atas mayat lelaki itu ditemui.

Berikutan itu, polis Sarawak melancarkan 'Operasi Buaya Ganas' di semua sungai besar di negeri itu seperti Batang Sadong, Samarahan, Lupar, Layar dan Saribas.

Operasi itu gagal dan Bujang Senang terus mengganas. Di antara tahun 1982 hingga 1991, sebanyak 13 orang menjadi mangsa kebuasan Bujang Senang.

Pada Mei 1992, Bujang Senang menyambar mangsa ke-14, Dayang anak Bayang, 20, ketika gadis Iban itu menyeberang Sungai Pelaban, cabang Batang Lupar bersama ibunya.

Air Sungai Pelaban hanya sedalam separas pinggangtetapi sebaik sahaja ibunya naik ke tebing, tiba-tiba satu deburan kuat menyebabkan Dayang hilang dari pandangan.

Abang Dayang, Enie Bayang dengan bantuan rakan-rakannya segera membantu. Bersama mereka ialah si bomoh, Mandau yang tidak henti-henti membaca mantera.

Setelah lebih 2 jam, Enie menjumpai mayat adiknya yang masih sempurna di celah-celah puing di salah satu lubuk sungai itu.

Entah kenapa, buaya itu timbul semula dipermukaan sungai. Mandau pantas melemparkan lembing ke kepala buaya itu malangnya lembing itu patah.

Beberapa das tembakan yang dilepaskan Enie pula gagal membunuhnya. Buaya itu melarikan diri ke arah Batang Lupar namun terhalang oleh sebatang kayu besar yang merentangi mulut Sungai Pelaban.

Ketika itulah penduduk dari 3 buah kampung iaitu Pelaban, Suduku dan Lingga mengepungnya.

Sebanyak 40 das tembakan dilepaskan dengan 22 daripadanya tepat di kepala haiwan itu. Semua tembakan itu menggunakan peluru paku sepanjang 10 cm.

Buaya itu menemui ajal dan bangkainya diangkut ke rumah panjang selama 4 jam perjalanan.

Selepasi itu barulah disedari di belakangnya ada garisan putih. Penduduk percaya itulah Bujang Senang yang diperkatakan orang selama ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Lingga, Awang Mahda Pengiran Mat mengesahkan buaya yang dibunuh itu seekor buaya jantan.

Katanya, orang yang membelah perut buaya itu menemui tulang dan rambut yang tidak dapat dipastikan kepunyaan manusia atau binatang, selain timah dan tali nilon.

Buaya itu berukuran 5.46 meter (18.5 kaki) panjang dengan lilitan perut 2.12 meter (6.9 kaki).

Berita kematian Bujang Senang itu mengejutkan rakyat Malaysia selepas ia disiarkan akhbar-akhbar arus perdana. Malangnya bangkai itu dibuang ke sungai begitu sahaja.

Sesetengah masyarakat di pedalaman Sarawak percaya Bujang Senang masih hidup malah bersaiz lebih besar sekarang.

Hanya beberapa hari kemudian kepalanya dikerat dan dibawa pulang oleh seorang lelaki, Johnson Jong untuk tatapan umum di ladang buayanya di Siburan, Sarawak.

Johnson Jong, 65, percaya buaya itu adalah Bujang Senang seperti yang didakwa penduduk.

"Itulah kali pertama saya berjumpa dengan buaya yang mempunyai jalur putih di belakangnya," imbau Johnson Jong yang membuka Ladang Buaya Jong sejak tahun 1963 lagi.

Katanya kepada Jurnal, selepas kejadian 1992 itu, tiada lagi serangan oleh buaya berjalur putih berlaku di sekitar Batang Lupar.

Sementara itu, Kurator Sejarah Zoologi dan Semula Jadi Muzium Sarawak, Dr Charles Leh berkata, sungai-sungai di Sarawak sememangnya terdapat banyak sarang buaya.

"Mengikut sejarah, buaya sudah wujud sejak lebih 160 juta tahun lalu. Jadi kewujudan banyak buaya besar di Sarawak adalah perkara biasa."

"Jalur putih di belakang buaya yang didakwa Bujang Senang itu berkemungkinan seekor buaya separa albino," ujarnya.

Apa pun, ada orang yang mempertikaikan kesahihan Bujang Senang sudah mati.

Malah terdapat masyarakat Iban di sepanjang Batang Lupar percaya Bujang Senang masih hidup malah bersaiz lebih besar.

Oleh kerana itulah jika pukat mereka terjerat anak buaya, mereka akan melepaskannya sambil memohon maaf.

Ini semua bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku pada mereka dan keturunan mereka.

Volkswagen Kuning


Kisah sebuah kereta Volkswagen kuning yang dianggap berhantu, sering mengganggu perjalanan di sekitar lebuhraya Karak. Hantu Volkswagen kuning ini mula mengganggu kenderaan di jalan raya sejak tahun 1956, tetapi tidak ketara dan orang ramai masih belum menganggap ia sesuatu yang mengaibkan.

Tetapi sejak lebuhraya Utara Selatan dibina merentasi kawasan yang dinamakan Jelapang, sejak itulah hantu Volkswagen kuning semakin ketara muncul dengan mengganggu kenderaan yang lalu lalang di situ. Puncanya dipercayai bermula dari sebuah kisah seorang isteri curang yang telah membunuh suaminya dengan kejam dan kemudian merampas kereta Volkswagen kuning milik suaminya.

Sang suami mati sambil menyimpan rasa dendam yang membara untuk memiliki semula Volkswagen kuning tersebut. Kenyataannya, jika benar hantu Volkswagen kuning ini wujud dan pernah dilihat orang, maka itu adalah jin (keturunan iblis yang bergelar jembalang), bukan si suami malang yang mati dibunuh kejam.

Volkswagen ini akan muncul secara tiba-tiba dan sekiranya pemandu memotong kerta tersebut, ia akan berada di hadapan secara mengejut. Dipercayai, kemalangan berlaku disebabkan gangguan Volkswagen kuning.

Menurut pengalam seorang pelajar UIA yang datang dari Gombak menuju ke Temerloh dengan motosikal pernah melalui dan terserempak dengan kerta kuning di lebuhraya itu pada tahun 2009 pada waktu senja kira-kira 7:30. Disebabkan beliau mengetahui akan misteri tersebut, beliau hanya mengambil langkah bertenang dan tidak memotong kereta tersebut. Kereta tersebut bergerak tanpa pemandu.