Sudah banyak stereotaip tentang El Clasico yang diulang-ulang sehingga sejarah sebenar diabaikan.
Jika anda tahu stereotaip tentang perlawanan El Clasico, anda pasti pernah mendengar sentimen bahawa El Clasico adalah ulangan Perang Saudara Sepanyol yang berlaku pada 1936, sebelum Perang Dunia Kedua.
Dalam erti kata lain, ia adalah pertembungan sejarah penindasan kumpulan Nasionalis yang disokong oleh orang Madrid terhadap kumpulan Republikan yang disokong oleh pejuang nasionalisme Catalonia.
APA ITU PERANG SAUDARA SEPANYOL?
Perang Saudara Sepanyol tercetus pada Julan 1936 selepas kumpulan Republikan yang bertanggungjawab menjadikan Sepanyol sebuah negara republik yang meruntuhkan sistem beraja monarki Sepanyol pada 1931 menang pilihanraya umum sekali lagi pada Februari 1936.
Pada ketika itu, majoriti penduduk Catalonia (penyokong Barcelona) menyokong kumpulan Republikan kerana mereka dijanjikan autonomi kuasa memerintah wilayah mereka sendiri.
Kemenangan kumpulan Republikan nyata tidak menyenangkan kumpulan nasionalis Sepanyol yang rata-ratanya disokong oleh penyokong Real Madrid. Tetapi ada juga penyokong Real Madrid yang menyokong kumpulan Republikan.
Kumpulan Nasionalis mahu sistem beraja di Sepanyol dikembalikan.
Mana tidaknya, mereka merupakan golongan yang selalu mendapat keistimewaan oleh keluarga diraja Sepanyol.
Jadi kumpulan Nasionalis berpendapat mereka tiada jalan lain untuk menghentikan Sepanyol daripada menjadi sebuah negara republik, selain daripada melakukan rampasan kuasa.
Untuk melakukan rampasan kuasa, kumpulan Nasionalis melancarkan perang pada musim panas 1936.
Serangan kumpulan Nasionalis diketuai oleh Francisco Franco, seorang jeneral tentera muda berusia 44 tahun.
Jeneral Francisco Franco
KAITAN PERANG SAUDARA SEPANYOL DENGAN EL CLASICO
Untuk pengetahun anda, Santiago Bernabeu (individu penting dalam sejarah Real Madrid) merupakan salah seorang penyokong kuat kumpulan Nasionalis dan tentera yang berkhidmat di bawah Jeneral Franco.
Santiago Bernabeu merupakan penyerang dan kapten Real Madrid sebelum bersara pada 1927 iaitu 9 tahun sebelum tercetusnya Perang Saudara Sepanyol.
Santiago Bernabeu (kanan) bersama Jeneral Francisco Franco (kiri)
Selepas Perang Saudara Sepanyol tamat, Santiago Bernabeu bertanggungjawab menyusun semula organisasi Real Madrid.
Beliau menghubungi pegawai-pegawai, bekas pemain dan ahli kelab yang masih hidup untuk menghidupkan semula Real Madrid.
Sementara itu di Barcelona, penduduk Catalonia juga perlu menghidupkan semula kelab bola sepak mereka selepas Perang Saudara Sepanyol.
Apatah lagi selepas presiden FC Barcelona, Josep Sunol mati dibunuh oleh pejuang Nasionalis dalam perang tersebut.
Monumen peringatan Josep Sunol (Presiden FC Barcelona)
Perang Saudara Sepanyol berakhir dengan kemenangan kepada kumpulan Nasionalis apabila wilayah Catalonia berjaya ditawan oleh tentera Jeneral Francisco Franco pada Februari 1939.
Kerajaan republik Sepanyol runtuh. Wilayaha Catalonia hilang kuasa autonomi untuk memerintah wilayah mereka sendiri.
Dengan kemenangan Jeneral Francisco Franco, wilayah Catalonia berada di bawah pimpinan kerajaan fascist pimpinan Jeneral Francisco Franco.
MENGAPA SENTIMEN PERANG SAUDARA SEPANYOL TIDAK BOLEH DITIUP DALAM EL CLASICO?
Apabila Raja Alfonso XIII menghadiahkan perkataan 'real' (yang bermaksud royal dalam English) dan mahkotanya untuk diabadikan dalam logo Real Madrid, ramai orang mula mengaitkan Real Madrid dengan keluarga diraja Sepanyol.
Evolusi logo Real Madrid
Apatah lagi selepas pejuang pro-kemerdekaan Catalonia mula menghidupkan semula sentimen Perang Saudara Sepanyol sejak pilihanraya tahun 2015.
Tetapi apa yang sering diabaikan oleh pejuang pro-kemerdekaan Catalonia dan orang ramai adalah - ramai juga penyokong Real Madrid menjadi mangsa penindasan Nasionalis semasa Perang Saudara Sepanyol.
Antaranya adalah dua Presiden Real Madrid ketika era Perang Saudara Sepanyol iaitu Rafael Sanchez Guerra dan Antonio Ortega.
Malah ada juga sesetengah penyokong Real Madrid yang mempunyai ahli-ahli keluarga dan saudara mereka yang terkorban dalam Perang Saudara Sepanyol.
Semuanya angkara kumpulan Nasionalis yang mengagungkan Jeneral Francisco Franco dan keluarga diraja Sepanyol.
Bagi kami, adalah tidak adil apabila pejuang pro-kemerdekaan Catalonia meniup sentimen Perang Saudara Sepanyol 1936 dalam perlawanan El Clasico.
El Clasico perlu menjadi arena pertembungan dua pasukan bola sepak terbaik di Sepanyol malah dunia juga untuk menentukan kelab mana yang paling agung.
El Clasico cukup hanya perlu menjadi 'pride battle' antara Real Madrid dan Barcelona. Bukannya medan menoreh luka yang lama.
Kredit : semuanyabola.com