Maharaja Hongwu


Pada tahun 1368, Maharaja Hongwu telah mengambil gelaran sebagai Maharaja China yang baru dan merupakan Maharaja China dari Dinasti Ming yang pertama. Beliau telah mengarang sajak yang memuji Rasulullah S.A.W. Beliau juga merupakan pengasas Dinasti Ming.

Maharaja Hongwu dilahirkan di daerah Anhui di dalam keluarga petani dan diberikan nama Zhu Yuanzhang. Beliau mempunyai 7 orang adik-beradik tetapi ketika berumur 16 tahun, tembok Sungai Yangtze telah pecah lalu menyebabkan banjir yang dasyat di perkampungannya. Akibat daripada banjir tersebut, wabak penyakit telah merebak sehingga membunuh kesemua ahli keluarganya kecuali seorang adik lelakinya. Akibat kemiskinan, beliau telah mengambil sumpah untuk menjadi sami di sebuah tokong Buddha. Walau bagaimanapun, akibat kekurangan wang, pihak tokong terpaksa memaksanya untuk keluar dari tokong tersebut. Setelah itu, beliau menjadi pengemis untuk beberapa tahun. Selepas 3 tahun mengemis, beliau kembali menyertai tokong Buddha di mana beliau belajar untuk membaca dan menulis.

Ketika berusia 24 tahun, tokong yang menjadi rumahnya telah dimusnahkan oleh pasukan tentera Dinasti Yuan yang sedang memerintah China ketika itu. Oleh sebab itu, beliau telah menyertai pasukan pemberontak yang mahu menjatuhkan pemerintahan Dinasti Yuan yang berbangsa Mongolia dan mengembalikan pemerintahan kepada bangsa asli China iaitu Han. Kerana kebolehannya, beliau berjaya menjadi komander tentera pemberontak di dalam masa yang sangat cepat. Pada tahun 1356, beliau berjaya menawan Kota Nanjing dan dari situ bermulalah Dinasti Ming. Pada tahun 1381, akhirnya China berjaya disatukan kembali di bawah pemerintahan satu kerajaan.

Terdapat perdebatan berkenaan agama Maharaja Hongwu kerana ada sejarahwan seperti Jing Chee Tang menyatakan bahawa beliau dan sepupunya Koh Shiao-Tze adalah beragama Islam tetapi isu ini masih didebatkan di kalangan sejarahwan sehingga kini. Walau bagaimanapun, Maharaja Hongwu sangat terkenal kerana sikapnya yang begitu lembut kepada Muslimdan agama Islam malahan beliau telah menulis sebuah sajak 100 patah perkataan memuji Nabi Muhammad S.A.W. Selain itu, Laksamana Zhang He yang terkenal juga telah berkhidmat untuk Dinasti Ming pada era pemerintahan anak Maharaja Hongwu iaitu Maharaja Yongle dan Kesultanan Melaka juga diberi perlindungan oleh Dinasti Ming daripada ancaman kerajaan Siam. Oleh sebab itu penubuhan Dinasti Ming adalah satu peristiwa penting di dalam sejarah umat Islam.

Ketika di era pemerintahannya, agama Islam tersebar dengan meluas di China malahan beliau telah membina beberapa buah masjid di seluruh China seperti Nanjing, Yunnan, Guangdong dan Fujian. Maharaja Hongwu juga mempunyai 10 orang jeneral yang beragama Islam di dalam angkatan tenteranya di mana di antaranya ialah Chang Yuchun, Lan Yu, Ding Dexing, Mu Ying, Feng Sheng dan Hu Dahai. 10 orang jeneral ini dikenali dengan gelaran 'Sepuluh Pelindung Muslim Dinasti Ming'.