Sebagai seorang Islam, kita wajib mentaati segala perintah Allah S.W.T dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Nasihat ini sering kita dengar terutama sekali dalam khutbah Jumaat yang dibacakan oleh khatib. Kuasa Allah S.W.T janganlah sesekali dicabar. Kita hanya hamba Allah S.W.T yang hina. Cuba kita hayati kisah-kisah terdahulu yang membabitkan kaum-kaum nabi. Ada di antara mereka yang telah menerima azab daripada Allah S.W.T secara tunai di dunia.
Dalam Al-Quran, banyak sekali diceritakan kisah umat terdahulu yang telah dibinasakan oleh Allah S.W.T kerana mereka mengingkari utusanNya dan melakukan berbagai-bagai penyimpangan yang telah dilarang.
Sejarah Kaum-Kaum Yang Telah Dibinasakan
1. Kaum Nabi Nuh a.s.
- Nabi Nuh a.s berdakwah selama 950 tahun, namun yang beriman hanyalah sekitar 80 orang. Kaumnya mendustakan dan memperolok-olok Nabi Nuh a.s. Lalu, Allah S.W.T mendatangkan banjir yang besar, kemudian menenggelamkan mereka yang ingkar, termasuk anak dan isteri Nabi Nuh a.s.
2. Kaum Nabi Hud a.s.
- Nabi Hud a.s diutuskan untuk kaum 'Ad. Mereka mendustakan kenabian Nabi Hud a.s. Lalu Allah S.W.T mendatangkan angin yang dahsyat disertai dengan bunyi guruh yang menggegar hingga mereka tertimbun pasir dan akhirnya binasa.
3. Kaum Nabi Saleh a.s.
- Nabi Saleh a.s diutuskan Allah S.W.T kepada kaum Tsamud. Nabi Saleh a.s diberi sebuah mukjizat seekor unta betina yang keluar dari celah batu. Namun, mereka membunuh unta betina tersebut sehingga Allah S.W.T menimpakan azab kepada mereka.
4. Kaum Nabi Luth a.s.
- Umat Nabi Luth a.s terkenal dengan perbuatan homoseksual dan lesbian iaitu hanya mahu berkahwin dengan pasangan sesama jenis. Kendati pun sudah diberi peringatan, mereka tidak mahu bertaubat. Allah S.W.T akhirnya memberikan azab kepada mereka berupa gempa bumi yang dahsyat disertai angin kencang dan hujan batu sehingga hancurlah rumah-rumah mereka. Kaum Nabi Luth a.s ini akhirnya tertimbun di bawah runtuhan rumah mereka sendiri.
5. Kaum Nabi Syuaib a.s.
- Nabi Syuaib a.s diutuskan kepada kaum Madyan. Kaum Madyan ini dihancurkan oleh Allah S.W.T kerana mereka suka melakukan penipuan dan kecurangan dalam perdagangan. Apabila membeli, mereka minta dilebihkan dan apabila menjual selalu menguranginya. Allah S.W.T pun mengazab mereka berupa hawa panas yang teramat sangat. Kendatipun mereka berlindung di tempat yang teduh, hal itu tidak mampu melepaskan rasa panas. Akhirnya, mereka binasa.
- Selain daripada kaum Madyan, Nabi Syuaib a.s juga diutus kepada penduduk Aikah. Mereka menyembah sebidang padang tanah yang pepohonnya sangat rimbun. Kaum ini menurut sebahagian ahli tafsir disebut pula dengan penyembahan hutan lebat.
6. Firaun.
- Kaum Bani Israel sering ditindas oleh Firaun. Allah S.W.T mengutuskan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s untuk memperingatkan Firaun akan azab Allah S.W.T. Namun, Firaun mengaku sebagai Tuhan. Firaun akhirnya maut di Laut Merah dan jasadnya tidak reput dan telah ditemui oleh ahli arkeologi moden. Hingga kini, jasadnya masih boleh disaksikan di muzium mumia di Mesir.
7. Ashab Al-Sabt.
- Mereka adalah golongan fasik yang tinggal di Kota Eliah, Elat, Palestin. Mereka melanggar perintah Allah S.W.T untuk beribadah pada hari Sabtu. Allah S.W.T menguji mereka dengan memberikan ikan yang banyak pada hari Sabtu dan tidak ada ikan pada hari lainnya. Mereka akhirnya dibinasakan dengan dilaknat Allah S.W.T menjadi kera yang hina.
8. Ashab Al-Rass.
- Rass adalah nama sebuah telaga yang kering airnya. Nama Al-Rass ditujukan kepada suatu kaum. Sesetengah riwayat mengatakan, nabi yang diutus kepada mereka adalah Nabi Saleh a.s. Namun, ada pula yang menyebut Nabi Syuaib a.s. Sementara itu, yang lainnya menyebutkan, utusan itu bernama Handzalah Bin Shinwan. Ada yang menyebut Bin Shofwan. Mereka menyembah patung. Ada pula yang menyebutkan, pelanggaran yang mereka lakukan kerana mencampakkan utusan yang dikirim kepada mereka ke dalam sumur sehingga mereka dibinasakan oleh Allah S.W.T.
9. Ashab Al-Ukhdudd.
- Ashab Al-Ukhdudd adalah sebuah kaum yang menggali parit dan menolak beriman kepada Allah S.W.T, termasuk rajanya. Sementara itu, sekelompok orang beriman dicampakkan ke dalam parit yang telah dibakar, termasuk seorang wanita yang tengah mengendong seorang bayi. Mereka dikutuk oleh Allah S.W.T.
10. Ashab Al-Qaryah.
- Menurut sebahagian ahli tafsir, Ashab Al-Qaryah (suatu negeri) adalah penduduk Antaqiyah. Mereka mendustakan rasul-rasul yang diutus kepada mereka. Allah S.W.T membinasakan mereka dengan sebuah suara yang sangat keras.
11. Kaum Tubba.
- 'Tubaa' adalah nama seorang raja bangsa Himyar yang beriman. Namun, kaumnya sangat ingkar kepada Allah S.W.T hingga melampaui batas. Maka, Allah S.W.T menimpakan azab kepada mereka hingga binasa. Peradaban mereka sangat maju. Salah satunya adalah empangan air.
12. Kaum Saba.
- Mereka diberi berbagai kenikmatan berupa kebun-kebun yang ditumbuhi pepohonan untuk kemakmuran rakyat. Kerana mereka enggan beribadah kepada Allah S.W.T walaupun sudah diperingatkan oleh Nabi Sulaiman a.s, akhirnya Allah S.W.T menghancurkan bendungan Ma'rib dengan banjir besar.